Hidayah bisa didapat oleh siapapun yang dikehendaki Allah, Kadar iman seseorang itu bisa naik dan juga bisa turun.
Pertanyaan
Adakah kita perlu mengqada’ solat (wajib atau sunat) yang tertinggal dengan sengaja, malas dan lalai? Bagaimana dengan solat yang ditinggalkan semenjak aqil baligh? Apakah kita hanya dituntut supaya bertaubat dan tidak perlu mengqada’nya?
Jawaban:
Firman Allah SWT:
… إِنَّ الصَّلَاةَ كَانَتْ عَلَى الْمُؤْمِنِينَ كِتَابًا مَّوْقُوتًا
“… sungguh, shalat itu adalah kewajiban yang ditentukan waktunya atas orang-orang yang beriman.” (QS. an-Nisa: 103)
Ayat ini menunjukkan bahawa solat fardhu menjadi kewajipan orang Islam dan mempunyai waktunya yang telah ditetapkan. Sebelum saya menjawab permasalahan ini, suka dinyatakan berkenaan dengan hukum meninggalkan solat.
Pengarang al-Fiqh al-Manhajimenyebut: Orang yang meninggalkan kerana mengingkari hukum wajibnya atau sengaja mempersendakannya akan menjadi kafir dan terkeluar daripada agama Islam.
Pihak pemerintah wajib menyuruhnya bertaubat dan tidak boleh membiarkannya demikian sehingga dia bertaubat dan kembali mendirikan sholat.
Jika dia terus mengingkarinya, dia akan dihukum bunuh sebagai seorang murtad dan mayatnya tidak boleh dimandikan, dikafankan dan disembahyangkan. Juga tidak harus dikebumikan di tanah perkuburan orang Islam kerana dia bukan lagi di kalangan mereka.
Sementara orang yang meninggalkan solat kerana malas tetapi masih meyakini hukum wajibnya, pihak pemerintah hendaklah memaksanya mengqada’kan solat dan bertaubat daripada kesalahan meninggalkannya.
Jika masih ingkar untuk mengqada’nya, maka dia wajib dihukum bunuh mengikut hukuman yang disyariatkan atas orang Islam yang melakukan maksiat.
Hal ini kerana hukuman ke atas orang yang meninggalkan perkara fardhu adalah wajib diperangi tetapi selepas dibunuh dia masih dianggap seorang Islam. Oleh itu, jenazahnya, pengebumian dan pembahagian hartanya hendaklah diuruskan menurut syariat Islam.
Berkenaan dengan soalan di atas, pendapat yang masyhur dalam Mazhab Syafie hendaklah diqada’kan solat yang telah ditinggalkan walaupun bukan dengan sebab tertidur atau lupa.
Ini kerana hutang Allah SWT lebih utama dibayar. Berkenaan dengan solat yang ditinggalkan semenjak aqil baligh, maka hendaklah diqada’ semampu yang mungkin walaupun secara beransur-ansur sehingga selesai, di samping bertaubat kepada Allah SWT.
Mereka hendaklah menghitung solat yang ditinggalkan dengan ghalib zan atau yakin supaya dapat diqada’kan semua solat yang pernah ditinggalkan.
Walaupun begitu kita yakin dengan sifat keampunan Tuhan dan penerimaan taubatnya di samping beriman dengan firman Allah SWT:
لَا يُكَلِّفُ اللَّهُ نَفْسًا إِلَّا وُسْعَهَا …
“Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya …” (QS. al-Baqarah: 286)
Berkenaan dengan qada’ amalan sunat hukumnya sunat, seperti yang pernah dilakukan oleh Rasulullah SAW. Adapun taubat juga perlu tetapi tidak memadai dengannya sahaja, mesti diqada’ juga berdasarkan arahan Rasulullah SAW.
Cara Mengqodho’ Sholat
Ada pendapat yang mengatakan hanya perlu qada solat yang ditinggalkan kerana tidak sengaja terlupa atau tertidur dan tidak perlu qada solat yang sengaja ditinggalkan.
Misalnya sembahyang yang ditinggalkan dengan sengaja kerana lalai semasa “muda-muda dulu”. Mereka mengatakan cukup dengan istighfar dan bertaubat sahaja.
Sebenarnya pendapat ini tidak tepat kerana Rasulullah s.a.w. sendiri menqada solat yang ditinggalkan walaupun Baginda tidak tertidur atau terlupa. Tidak ada qada dalam solat bukan bermaksud tidak perlu qada tapi tidak perlu sebut perkataan qadha semasa niat.
Qadha ialah melakukan sesuatu ibadah di luar waktunya dan tunai ialah melakukan sesuatu ibadah di dalam waktunya. Secara mudahnya tunai “waktu Allah”, qadha “waktu kita”
Dari ‘Aisyah r.a katanya: ”Apabila Rasulullah s.a.w. lupa solat malam, umpamanya kerana tertidur dan sebagainya, maka baginda menggantinya pada siang hari dua belas rakaat.” (HR. Muslim)
Ada orang bertanya: Jika kita tertinggal solat (sengaja dan tidak sengaja) sejak akhil baligh sehingga sekarang (20-an; banyak waktu), perlukah di qada semua jumlah solat yang tertinggal itu atau cukup dengan melakukan solat taubat?
Jawabnya, Wajib qada solat yang telah tertinggal. Disini ada dua cara untuk qada, pertama jika seseorang yang tahu sebanyak mana dia telah tinggalkan solat fardhunya, maka qadakanlah mengikut bilangan yang telah ditinggalkannya.
Cara kedua adalah bagi yang tidak tahu secara detail berapa banyak yang telah ditinggalkannya, yakni semenjak akil baligh, buatlah anggaran berapa banyak solat yang perlu diqada dan berhentilah jika sudah yakin solat itu sudah diqada kesemuanya.
Cara yang terbaik adalah selepas selesai solat fardhu lakukan solat qada, buatlah berterusan begitu moga-moga diterima Allah. Selain itu ada juga orang bertanya, jika ditakdirkan meninggal sebelum sempat mengqada semua solat itu ( tetapi sudah buat solat taubat ) bagaimana ?
Soal jika meninggal sebelum sempat meng’qada kesemua solat itu, semuanya bergantung pada Allah, akan tetapi jika kita telah benar-benar insaf dan niat untuk qada’ kesemua solat dan telah melakukan solat taubat dengan bersungguh-sungguh dan juga mengikuti segala perintah Allah, insyaAllah akan diampuni dosa-dosanya.
Untuk pengetahuan semua, qada solat fardhu boleh dilakukan pada bila-bila masa sahaja tiada waktu larangan padanya. Semoga perkongsian ini bermanfaat kepada semua dalam mendapat pengampunan daripada Allah SWT. Aamiin
Sumber: islamituindah.info